Cari pengalaman dengan pereka tersohor sebelum pilih haluan buka butik dengan jenama sendiri
BAGAIKAN diam berubi, Syaiful Baharim antara pereka fesyen yang sedang meniti puncak kegemilangan dalam kelas tersendiri. Tanpa perlu terburu-buru mencipta nama mahupun mengejar glamor, anak kelahiran Kuala Lumpur ini lebih rela terlebih dulu bertatih dalam bidang ini sebelum akhirnya berdiri megah dengan butik Syaiful Baharim, demi-couture di Plaza Damas yang hadir sejak dua tahun lalu.
Bijak mencari ruang dan kesempatan, kejayaan hari ini adalah berkat kesabarannya menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman. Sememangnya jejaka ini enggan terjun kosong ke dalam industri yang penuh dengan cabaran serta saingan sengit. Justeru, tidak hairanlah setiap rekaannya cukup memukau melalui potongan yang ringkas dan kemas.
Mereka yang gemar dan bercita rasa tinggi dalam memilih fesyen pasti melihat ‘jiwa’ Syaiful pada setiap gaun pengantin mahupun gaun petang rekaannya. Malah, keanggunan rekaannya yang tidak berlebih-lebihan itu turut diakui jurugambar yang sebelum ini banyak merakam hasil rekaan pereka fesyen lain. Jika diteliti latar belakangnya, Syaiful memang bukan calang pereka. Beliau pernah bergelar juara dalam pelbagai pertandingan fesyen seperti Jarum Berlian (2202), Mifa 2004 - Rekaan Couture Terbaik bagi kategori rekaan pakaian kasual, Mifa 2005 - berjaya mewakili negara ke Anugerah Rekaan Fesyen Asean Ke Tiga di bawah Mercedes Benz dan muncul sebagai pereka negara pertama yang memenangi gelaran itu. Gelaran juara membolehkannya menyertai pelbagai program dan latihan membabitkan fesyen pada peringkat antarabangsa seperti Minggu Fesyen Sydney 2006, latihan berdepan dengan media di Jakarta, pemasaran di Singapura dan kursus rekaan di London. Bual Fesyen berkesempatan menemui Syaiful baru-baru ini untuk mengenalinya lebih dekat.
Citra: Sejak bila minat dalam rekaan fesyen bermula?
1988, tetapi ketika itu tidak tahu banyak perkara sehingga saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM tamat pengajian pada 2002). Awalnya saya gemar melukis dan membuat lakaran bentuk badan orang memakai pakaian. Mereka yang melihat lukisan itu sering berkata saya bakal menjadi pereka fesyen, tetapi saya tidak percaya kerana minat saya lebih kepada bidang grafik. Bila memohon ke UiTM, saya diterima masuk dalam kursus rekaan fesyen. Pada masa itu, nak potong blok pun tidak tahu. Namun, pegangan hidup saya, buat apa pun mesti yang terbaik. Akhirnya saya di sini.
Citra: Tamat pengajian, mengapa tidak terus mencipta nama sendiri seperti dilakukan sesetengah pereka lebih junior kini?
Saya lebih gemar mencari pengalaman terlebih dulu kerana saya percaya tanpanya kita tidak mungkin pergi lebih jauh. Saya bekerja dan belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang fesyen seperti Bill Keith, Salikin Sidek dan Sarimah Adzrina. Mereka banyak memberikan inspirasi dan sokongan. Di samping itu, saya juga menyertai pelbagai pertandingan semata-mata untuk menimba ilmu berharga mahupun menambah keyakinan diri sendiri. Ilmu yang ditimba serta pengalaman berharga itu adalah asas untuk terus maju dan akhirnya memberikan keyakinan untuk saya membuka butik sendiri pada tahun lalu.
Citra: Mengapa memilih konsep perkahwinan? Tidakkah ia mengehadkan peluang dalam pemasaran kerana rekaannya yang sering kali kelihatan stereotaip?
Saya melihat ia sebagai satu perniagaan menguntungkan. Berdasarkan pemerhatian saya, orang ramai sedia membelanjakan sejumlah wang mereka demi untuk kelihatan cantik pada hari bersejarah itu. Ia tidak semestinya mahal kerana sebagai pereka, saya perlu bijak menyesuaikan rekaan dengan tema hari perkahwinan, tempat dan bajet bakal pengantin. Soal rekaan perkahwinan yang stereotaip boleh dielakkan melalui kebijaksanaan pereka itu sendiri. Memang tidak dinafikan gaun pengantin lazimnya putih kerana ia melambangkan kesucian. Putih warna yang cukup menarik dan dramatik khususnya untuk majlis akad nikah atau potong kek.
Citra: Menyentuh mengenai gaun, pada pendapat Syaiful adakah masyarakat Melayu hari ini lebih gemarkan gaun berbanding pakaian tradisional seperti songket?
Sebagai pereka pakaian pengantin, apakah anda tidak percaya dengan keindahan busana tradisional? Apakah usaha yang pernah anda lakukan bagi memastikan busana warisan tidak terus tenggelam? Kebanyakan pelanggan saya adalah golongan eksekutif muda yang mahukan sentuhan moden. Mereka mahu menggayakan gaun pada majlis tertentu seperti potong kek. Seperti yang saya katakan sebelum ini, gaun boleh digayakan mengikut kesesuaian tempat. Kalau untuk akad nikah, masih boleh memakai gaun tetapi disuntik dengan sentuhan moden seperti kebaya atau baju kurung versatil yang boleh digayakan di majlis lain. Tahun lalu saya menghasilkan rekaan berkonsep baju kurung dengan tema Maharani yang digayakan Maya Karin. Baju kurung dalam pelbagai warna lembut dan terang ini sesuai dipakai ketika akad nikah atau bertunang. Ia boleh menjadi gaun dan pada masa lain pula menjadi baju tradisional.
Citra: Bagaimana anda membezakan setiap rekaan anda berbanding rekaan pereka terkenal lain bagi membolehkan anda berada dalam 'trademark' sendiri?
Saya gemarkan rekaan yang ringkas, moden dan teliti dengan setiap perinciannya. Fabrik yang digunakan mungkin sama seperti yang ada di butik lain seperti sifon, renda dan jaring yang mesti dalam pakaian pengantin. Apabila pelanggan datang ke butik saya, mereka harus faham dan menerima rekaan saya seadanya. Mereka harus tahu, hasil rekaan saya pasti tidak sama dengan pereka fesyen pengantin yang sudah lama mencipta nama seperti Man Kajang, Datuk Bernard Chandran dan sebagainya yang mempunyai sentuhan tersendiri. Rekaan saya bersih dan kemas tanpa sarat perhiasannya. Saya tidak menghasilkan kebaya Indonesia yang berkerawang kerana saya tidak mahu setiap rekaan saya bertembung dengan rekaan pereka lain.
Citra: Apakah kepuasan yang anda dapat daripada hasil rekaan anda?
Cantik dilihat orang dan ia mampu membuatkan orang yang melihatnya, berkata, 'Wow!'. Itu sudah cukup membuatkan saya gembira.
Citra: Anda dilihat sebagai pereka pertama menggunakan 'muse' bagi memasarkan jenama anda berbanding pereka lain yang lebih gemar 'bersandar' kepada artis dan selebriti bagi mengetengahkan rekaan anda.
Menggunakan 'muse' bukanlah perkara baru dalam industri fesyen. Ia adalah personaliti yang dilihat sebagai berkarektor. Misalnya sebelum ini saya menampilkan Maya Karin bagi memperkenalkan koleksi Maharani. Kali ini, Daphne Iking menjadi pilihan bagi koleksi Goddess pula kerana gayanya melambangkan wanita moden yang bijak bergaya. Koleksi ini melahirkan gaya Muslimah dan seksi menggunakan fabrik mewah seperti sifon dan satin. Berpotongan jubah dan gaun labuh, ia diperindahkan dengan butiran mutiara pada bahagian dada dan lengan baju. Saya tidak menafikan artis dan selebriti membantu dalam memperkenalkan jenama anda. Saya turut bekerjasama dengan artis terkenal tanah air seperti Dayang, Misha Omar, Maya Karin dan Aliah Lee. Hakikatnya, saya perlu berdiri di alam nyata iaitu menjalankan perniagaan yang boleh menguntungkan saya dan pelanggan. Sebagai pereka, saya tidak boleh bergantung sepenuhnya sebagai penaja semata-mata untuk glamor pada mata ramai dan akhirnya tidak mempunyai pelanggan dalam erti kata sebenar. Sebagai ahli perniagaan, saya lebih memikirkan permintaan dalam jangka masa panjang.
Citra: Apakah matlamat anda kini dan nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini?
Matlamat saya tidak mahu menghasilkan rekaan 'syok' sendiri. Setiap rekaan perlu ada tindak balas daripada pelanggan. Pereka baru perlu ada sikap ini dan keinginan untuk memperbaiki kelemahan diri kita. Jangan takut bila dikritik kerana ia boleh memperbaiki hasil kerja kita agar menjadi lebih baik lagi. Pereka juga adalah usahawan yang perlu berfikir secara positif dan rasional. Setiap pelanggan berbeza walaupun menggayakan satu rekaan yang sama. Cari ilham dengan banyak membaca agar setiap rekaan kita berbeza dengan pereka lain. Hari ini tidak dinafikan ramai muncul pereka baru yang bagus, tetapi perlu ada hala tuju sendiri. Industri fesyen perlu sentiasa segar dengan rekaan yang berbeza daripada seorang pereka dengan pereka lain.
By Halina Mohd Nor for Citra, Berita Harian
Wednesday, June 11th 2008
1 comments:
Congrats! Soon the media will be swarmed with your name. Haha.
You're going to make it big I believe. I really like you as I saw you in wanita hari ini with misha omar. I was impressed. You don't bitch and act snobbish like usual designers do. Like when the host asked "laen kali bg la kaen kosong utk buat bertunang" (cant remember exactly) but you calmly replied "tak boleh pula ckp mcm tu kat org tua, nanti apa kata dia, nanti tanak bg lg" (and there are more quotes that shows that you are more than just a designer). Plus, your design is just like my taste. Simple yet elegant. Gosh. I really really adore you. ^_^
Post a Comment