BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila pelakon jelita Maya Karin mengumumkan mengenai tarikh perkahwinannya dengan jejaka Inggeris, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhamad Ali dalam satu sidang akhbar Jumaat lalu.
Maya sudah berkias dengan pihak media bahawa dia sudah pun mempunyai seseorang dalam hidupnya.
Bagaimanapun, tanggapan awam masih mahu mempercayai bahawa cinta Maya adalah seorang VIP. Namun dengan pengumuman itu - ya Maya akan melangsungkan perkahwinannya pada 14 Ogos di sebuah taman lokasi percutian terkemuka, Ballegio, Itali - bagaikan melenyapkan spekulasi dan gosip cinta sensasi itu.
Bagaimanapun Maya sendiri tidak melihat pengumumannya berhubung tarikh pernikahan bersama Muhammad Ali sebagai berita yang dengan sendiri akan melenyapkan segala cerita liar mengaitkannya dengan VIP tadi. Baginya, dia tidak menghiraukan khabar angin terbabit kerana ia sememangnya tidak berasas.
"Sama ada saya mengumumkannya sekarang atau lama dulu, semua itu tidak bermakna kerana mereka yang ingin mempercayai cerita bukan-bukan, akan tetap mempercayainya," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung dalam suasana penuh ceria.
Sementara itu, ketika bercerita mengenai majlis perkahwinannya, Maya mengaku dia lebih gembira sekiranya ia diadakan dalam keadaan sederhana saja.
"Paling penting, semua orang berasa seronok dan saya dapat meraikannya bersama keluarga, rakan dan tetamu lain dengan seadanya," kata Maya sambil memberitahu, betapa dia berasa rimas untuk memikirkan majlis besar-besaran.
Lagipun, kata Maya, perkahwinan ialah perkara yang bersifat peribadi dan amat istimewa. Justeru, dia akan mengadakan majlis keraian pernikahannya mengikut keselesaan diri sendiri.
Majlis resepsi di ibu kota nanti juga tidak akan menyaksikan pelakon itu menerima atau membalas sebarang dulang hantaran. Jelas Maya, bukan saja dia dan Muhammad Ali mahukan majlis yang ringkas, malah jejaka itu juga berseorangan di Kuala Lumpur. Lalu tidak masuk akal untuk menyusahkannya menyediakan segala kelengkapan termasuk hantaran.
"Begitu juga ketika di Itali, kami hanya akan melangsungkan acara akad nikah dan menyerahkan mas kahwin saja," kata Maya yang akan mengenakan rekaan Syaiful Baharim pada majlis di Ballegio, manakala acara keraian di Kuala Lumpur pula akan menyaksikannya mengenakan rekaan Radzuan Radziwill.
Nurulhisham Abdul Latiff
E-media news, July 7th 2008
0 comments:
Post a Comment